Saturday, May 2, 2009

Indahnya ciptaan Allah S.W.T


Mengimbas kembali kali pertama mengharungi Jeram Pelagus (Sungai Rajang, Kapit, Sarawak), terucap kalimah 'Subhanallah' apabila menyaksikan betapa besarnya ciptaan Allah S.W.T berbanding dengan apa yang telah manusia ciptakan malah mereka (manusia) begitu berbangga dengan betapa besar bangunan yang mereka hasilkan, betapa tinggi pencakar langit yang mereka dirikan. Sesungguhnya, tiada satu pun daripada bangunan raksasa ciptaan manusia mampu berdiri sekukuh gunung & tiada juga menara tinggi yang mampu mencecah langit ciptaan-Nya. Menyaksikan Jeram Pelagus ini cukup menginsafkan diriku yang selama ini leka dengan dunia ciptaan manusia. Ganasnya Jeram Pelagus ini mengingatkan aku kepada rancangan dokumentari dalam siaran televisyen Animal Planet. Umpama singa lapar mengejar antelope untuk dijadikan habuannya. Pada 1 April 2006, sekolahku digemparkan dengan satu kejadian yang berkait rapat dengan Jeram pelagus ini. Guru Besar sekolahku, pergi buat selama-lamanya pada tarikh tersebut setelah terjatuh dari bot ekspres (pengangkutan utama di sini) lalu terus ditelan arus ganas Jeram Pelagus. Kejadian ini sekali lagi mengingatkan aku bahawa ajal itu telah ditetapkan oleh-Nya tidak kira di mana sahaja tempat, selamat atau bahaya, bila sudah tiba masanya, kita akan kembali kepada-Nya jua.
Pada pagi Jumaat minggu lepas, 24 April 2009, seorang rakan sekerja menjerit-jerit memanggilku seolah-olah ada kecemasan sedang berlaku atau dia memerlukan bantuanku. Lantasku berlari-lari anak ke arahnya yang sedang memerhatikan sesuatu di pagar sekolah. Sebaik sahaja aku tiba, kulihat dia sedang menuding jarinya ke arah pagar & aku terus dapat mengagak ada haiwan atau serangga yang unik sedang dilihatnya. Jangkaanku tepat setelah kulihat sendiri makhluk ciptaan Allah S.W.T (gambar di atas) yang tidak pernah pun dalam hidupku selama ini menyaksikannya. "Subhanallah," kalimah yang terkeluar dari mulutku setelah melihat dengan lebih dekat ciptaan-Nya yang begitu indah ini. Tanpa membuang masa terusku mengambil gambarnya kerana belum tentu aku berpeluang melihatnya lagi selepas ini. Aku begitu bersyukur ditempatkan di kawasan pedalaman kerana berpeluang menikmati anugerah Allah S.W.T. Pesanku kepada bakal-bakal guru, sekiranya anda ditempatkan di kawasan pedalaman, anggaplah peluang tersebut sebagai satu anugerah buat anda.